Penentuan Awal Muharam Pentadbiran_Agama_Islam_di_Perak

Pada tahun 1949 Undang-Undang Penubuhan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak diluluskan . Mengambil sempena dengan tarikh 1hb Muharram 1369 Hijrah bersamaan dengan tarikh 23hb 10.1949 Kerajaan Negeri Perak telah mewujudkan sebuah Pusat Agama yang dinamakan seperti nama sekarang ini “Majlis Agama Islam dan Adat Melayu dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perak ” dengan pejabatnya yang pertama di tempat letak kereta Pejabat Setiausaha Kerajaan Perak .

Dengan penubuhan Majlis dan Jabatan pada tahun 1949 iaitu Pejabat Mufti , Pejabat Quran dan Pejabat Kadi Besar (Balai Syara’) yang semuanya berada di Kuala Kangsar dipindah dan disatukan di Ipoh.Balai Syara’ di Kuala Kangsar digantikan dengan nama “Pejabat Kadi Wilayah Kuala Kangsar”.

Dengan penubuhan itu juga mansuhlah Komiti Quran.Perjalanan sekolah Quran bertukar corak.Ia tidak lagi diajar sebelah petang tetapi dimasukkan ke dalam Sekolah Melayu sebelah pagi dan Pelajaran Quran hanya sebagai salah satu daripada Mata Pelajaran Agama Islam yang diajar.Urusan Pelajaran Agama Islam pada masa itu dikendalikan oleh seorang Nazir dan 3 orang Penolong Kanannya yang bertanggungjawab terus kepada Yang Dipertua dan Setiausaha.Kemudiannya Pelajaran Agama di sekolah-sekolah rendah ini di ambil alih pula oleh Kementerian Pelajaran.

Komiti Syariah berubah bentuk sedikit demi sedikit.Kalau dulu Pengerusi Komiti dipegang oleh salah seorang Orang Besar Negeri kemudian digantikan dengan siapa yang memegang jawatan kadi Besar dan Mufti sebagai penasihat.Sehinggalah sekarang ini Mufti menjadi Pengerusi dan Komiti Syariah digelar Jawatan Kuasa Syariah.

Sebagai kesimpulan ketika penubuhan 1949 itu hal-hal yang dikendalikan oleh Majlis dan Jabatan bolehlah dibahagi kepada Unit di bawah ini dengan Ketua masing-masing:-

  • Bahagian Fatwa diketuai oleh Mufti
  • Kadi Besar mengetuai Kadi-Kadi Wilayah
  • Bahagian Pelajaran diketuai oleh Nazir
  • Bahagian Am diketuai oleh Kerani Besar